SEOUL: Nelayan Korea Selatan mengadakan bantahan pada Jumaat, menentang rancangan Jepun untuk melepaskan sisa air tercemar dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Kumpulan nelayan tempatan itu berkumpul di pinggir laut daerah pantai barat daya Jangheung, sambil membawa "usungan bunga" kira-kira 200 meter.

"Usungan bunga itu digunakan untuk upacara (tradisional) membawa keranda mayat. Kami berarak dengan usungan bunga untuk menegaskan bahawa jika air sisa nuklear Fukushima dilepaskan ke lautan, semua manusia akan mati.

"Saya ada beberapa soalan kepada kerajaan Jepun. Mengapa ia mahu melepaskan air tercemar ke lautan jika air itu benar-benar selamat seperti yang didakwa Jepun?.

"Mengapa ia mahu membuangnya melalui terowong sepanjang satu kilometer selepas pencairan jika air itu cukup selamat untuk diminum?," kata ketua eksekutif Persekutuan Persatuan Nelayan Korea, Kim Young-chul, lapor Xinhua.

Beliau berkata jika air itu benar-benar selamat dan boleh diminum, Jepun boleh memilih untuk menggunakannya di dalam wilayahnya sendiri untuk tujuan pertanian, perindustrian dan minuman.

Jepun mendesak untuk membuang air sisa tercemar pada musim panas ini dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang sudah tidak beroperasi akibat dilanda gempa bumi besar dan tsunami pada Mac 2011.

Tindakan itu telah dibantah ekoran keraguan dalam kumpulan nelayan domestik, negara jiran dan negara kepulauan Pasifik Selatan, serta masyarakat antarabangsa.

-- BERNAMA